PELUANG MENGUBAH PENDIDIKAN DI SABAH

PELUANG MENGUBAH PENDIDIKAN DI SABAH
(diterjemahkan daripada artikel “Opportunities That Transform Education in Sabah oleh Florence Ki”)

INI bulan terakhir 2017, tempoh yang biasanya akan saya ambil untuk menghabiskan baki cuti tahunan. Jadi, saya memutuskan untuk mengambil cuti setiap Hari Jumaat yang bukan sahaja telah menjadi rutin saya setiap hujung tahun tetapi untuk meluangkan masa melakukan perkara-perkara yang saya suka buat.

Sabah sentiasa menjadi rumah kedua saya kerana saya suka komunitinya yang mesra, makanan laut yang segar dan pantainya yang indah. Walaupun sering berkunjung ke Sabah dan bertemu dengan ramai guru di sepanjang perjalanan, jadual kerja sibuk tidak memberi peluang kepada saya berbicara dengan mereka. Dengan masa yang saya ada sekarang, saya memutuskan untuk mengetahui lebih banyak tentang pendidikan di Sabah supaya saya dapat memacu gerakan inovasi akar umbi di sekolah-sekolah.

Seorang rakan mencadangkan agar saya mendapatkan maklumat lebih lanjut daripada Cikgu Kasmah, bekas guru dengan pengalaman mengajar lebih 16 tahun. Dengan pengalamannya itu, saya rasa dia adalah orang yang tepat dan saya manfaatkan peluang bertemu dengannya di salah satu kafe ketika dia berada di Kuala Lumpur minggu lalu.

Kasmah, 55, ibu kepada lima orang anak adalah antara enam adik beradik dalam keluarga. Ayahnya seorang petani manakala ibunya tukang masak. Cabaran hidup kerana serba kekurangan pada masa itu menyebabkan kadang-kadang hampir mustahil untuk Kasmah dan beberapa rakan sekelasnya pergi ke sekolah. Bagaimanapun, Kasmah adalah seorang pelajar yang bekerja keras dan telah berjaya mengharungi cabaran sehingga menamatkan pendidikan Darjah Enam dengan biasiswa penuh.

Kasmah memulakan persekolahan di Sekolah Kebangsaan Pekan Tuaran tetapi dipindahkan untuk menamatkan pendidikan sekolah rendahnya di Sekolah Rendah St John dengan subsidi kerajaan selepas mendapat keputusan cemerlang di Darjah Tiga.

Usaha gigih Kasmah membuahkan hasil apabila mendapat tajaan penuh Yayasan Sabah untuk melanjutkan pendikan sekolah menengah selama lima tahun di Sekolah Agama Alawiyah Arau, Perlis dan seterusnya ke Maktab Adabi, Terenganu sehingga tamat pendidikan Tingakatan Enam.

Bagaimanapun, tanggungjawab memikul pembiayaan persekolahan dua adiknya menyebabkan Kasmah tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Dia terpaksa memilih untuk berkerja sebagai kerani di Bank Negara. Tidak lama selepas itu, Kasmah menceburi bidang pendidikan bermula sebagai “Guru Sandaran Tidak Terlatih” di SMK Telupid dan Lahad Datu apabila suaminya dipindahkan berkerja ke Sabah.

“Ibu bapa saya bekerja keras menyara keluarga, jadi sebagai salah seorang yang berpendidikan, saya juga mesti memainkan peranan,” katanya.

Sepanjang kariernya sebagai guru, Kasmah mengajar Bahasa Melayu dan Matematik di lebih empat buah sekolah di Sabah; dari sekolah di Lahad Datu ke Tenom kemudian balik ke kampungnya di Tuaran. Sekolah terakhirnya sebelum bertugas sebagai pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tuaran ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Nangka dimana beliau mengajar selama 12 tahun. Dengan tekad untuk untuk terus belajar, beliau berjaya mendapat Sijil Perguruan dan Ijazah Bahasa Melayu menerusi kelas hujung minggu serta pendidikan jarak jauh semasa 16 tahun kariernya sebagai guru di Sabah.

“Peluang agak terhad ketika itu, jadi saya meraih sebanyak mungkin yang saya mampu dengan melakukan apa yang agak berbeza daripada apa yang dilakukan oleh rakan-rakan saya”.

Kini berusia 50-an, beliau percaya peningkatan sistem penyampaian pendidikan, kemahiran teknologi dan kemahiran guru dapat membuka peluang yang tidak berkesudahan bagi mereka memberikan pendidikan berkualiti tinggi kepada masyarakat setempat. Walau bagaimanapun, masih terdapat segelintir ibu bapa terutamanya yang tinggal berhampiran kawasan pesisir, mendapati ianya satu cabaran menghantar anak-anak mereka ke sekolah, apatah lagi memberi pendidikan yang baik. Ramai yang kekurangan wang untuk membayar pengangkutan dan membeli keperluan sekolah anak-anak mereka.

Menurut Kasmah, kualiti pendidikan yang diterima, walaupun sama di seluruh Malaysia masih tidak cukup kondusif untuk mempersiapkan anak-anak tempatan setanding dengan mereka yang tinggal di kota. Ramai yang masih tiada peluang untuk mempelajari pengetahuan baru seperti robot dan mengamalkan pendidikan sains berasaskan penyelidikan (IBSE). Jelas, kekurangan kepakaran, iaitu sesuatu yang sangat penting untuk memperkaya pengetahuan guru, menjejaskan kelancaran pendidikan sedemikian di Sabah. Malaysia sedang maju untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, namun ramai rakyat Sabah masih ketinggalan jauh.

Peluang Yang Mengubah Pendidikan di Sabah

“Dua tahun yang lalu, apabila saya dapat tahu bahawa salah seorang wakil parlimen kami dilantik sebagai Menteri Sains, Teknologi & Inovasi, saya gembira,” kata Kasmah sambil menambah, “Saya tahu sesuatu yang luar biasa akan berlaku di Tuaran”.

Seperti yang dijangka, hari ini IBSE telah dijadikan projek perintis PPD Tuaran, terima kasih kepada usaha YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau. Empat puluh guru dari sekolah Tuaran dipilih sebagai “Duta Sains”, telah dilatih dalam bengkel IBSE, difasilitasi oleh dua ahli IBSE Perancis, Profesor Yves Quere dan Ann Laperdrix.

“Melihat Madius mengingatkan saya tentang perjuangan saya untuk cemerlang dalam pendidikan. Saya rasa ia adalah kerana cabaran zaman kanak-kanaknyalah yang telah mengubahnya menjadi orang yang boleh berempati dengan orang di Sabah. Dalam hal pendidikan, dia tidak pernah kedekut untuk menyumbang,” kata Kasmah.

Madius telah melakukan banyak perkara untuk meningkatkan pendidikan masyarakat Tuaran, malahan telah melakukannya sebelum pun beliau menjadi Menteri Persekutuan. Antara inisiatif penting yang dilakukannya adalah menganjurkan “Anugerah Gemilang Kecemerlangan Tujuh Tahun” di mana anugerah diberikan kepada pelajar, guru dan sekolah yang mencapai prestasi cemerlang. Ia secara tidak langsung memotivasi persaingan secara sihat untuk maju.

Menurutnya, Madius adalah ikon kepada anak-anak sekolah Tuaran kerana pengalaman zaman kanak-kanaknya sama seperti kanak-kanak tempatan. Seperti orang lain, beliau juga lahir dalam keluarga miskin dan berjalan kaki berjam-jam ke sekolah setiap hari. Demi mendapatkan lebih banyak masa untuk belajar, beliau memilih untuk tinggal di sebuah pondok kecil yang dibina berhampiran sekolahnya dan hanya pulang ke rumah orang tuanya pada setiap hujung minggu.

Dengan kerja keras dan ketekunannya itu, beliau kini mendapat kepercayaan memikul tugas Menteri Persekutuan dengan portfolio memecut pertumbuhan negara iaitu Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi, portfolio yang sebelum ini tidak pernah begitu penting dalam memacu ekonomi Malaysia ke arah mencapai negara berpendapatan tinggi.

Semasa bercakap dengan Kasmah, saya diberitahu bahawa komitmen Madius membawa
sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan menganjurkan program Pendidikan Robotik selama enam bulan di Tuaran telah memberi manfaat besar kepada pelajar tempatan. Kebetulan, ia adalah program Robotik anjuran organisasi tempat saya bekerja iaitu Yayasan Inovasi Malaysia (YIM). Sebagai orang Semenanjung dengan pelbagai peluang belajar, tidak pernah terlintas dalam fikiran saya bahawa Pendidikan Robotik boleh memberi impak besar kepada masyarakat luar bandar. Nampaknya ramai kanak-kanak di Tuaran tidak pernah berpeluang membuat robot sekaligus mempelajari bahawa ia pengalaman berharga kepada mereka.

Selain inisiatif Robotik oleh Yayasan Inovasi Malaysia, YIM turut membantu komuniti tempatan membangunkan inovasi akar umbi mereka ke tahap pengkomersialan melalui program “Mainstreaming Grassroots Innovations“. Salah satu kejayaan YIM ialah dapat membantu 7 orang pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia membangunkan produk “Muamalat Interactive Game” yang memudahkan pembelajaran prinsip kewangan Islam. Produk ini telah dikomersialkan dalam tempoh 1 tahun dan menjana pendapatan untuk inovator-inovator tersebut.

Semua inisiatif ini mungkin tidak penting kepada kita yang tinggal di bandar tetapi sebenarnya ia adalah suntikan kepada guru, pelajar dan komuniti di Tuaran terutamanya dalam menggalakkan pembelajaran berterusan, mendorong dan menaikkan tahap keyakinan mereka. Ini juga memberi mereka halatuju yang lebih jelas, bergerak ke arah negara berpendapatan tinggi seiring dengan penduduk di bandar.

“Guru macam kita juga. Mereka menginginkan sokongan moral yang kuat dan berterusan agar tidak mudah dipengaruhi oleh perkara negatif dalam masyarakat,” kata Kasmah.

Kasmah berharap lebih banyak individu atau organisasi akan tampil untuk menyokong peningkatan sistem penyampaian pendidikan, bukan sahaja di Tuaran tetapi Sabah secara keseluruhannya.

*Artikel ini merupakan inisiatif Program “Mainstreaming Grassroots Innovations” dibawah Rancangan Malaysia Ke-Sebelas.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *