PINJAMAN CETUS USAHAWAN JATI

PINJAMAN CETUS USAHAWAN JATI

USAHA Tangga Kejayaan adalah perumpamaan tepat untuk Lomiti Jahan yang bermula dari bawah sehinggalah bergelar usahawan berjaya. Saya manfaatkan kesempatan pertemuan dengannya dalam salah satu majlis di Tuaran, Sabah untuk mencoret perkongsian beliau.

Lomiti adalah anak keempat dari tujuh adik beradik berasal dari Kg. Koporingan Tamparuli yang kini menetap di Kg. Bontoi Bahagia, Jalan Bawang Tamparuli.

Menceritakan pembabitan awalnya dalam perusahaan kraftangan, wanita berusia 50 yang telah berkahwin dengan Ricky Chin pada 1986 dan mempunyai empat anak (Trecyla, 30, Vester, 28, Tefney, 26, dan Veno, 24) itu berkata, semuanya bermula kerana minat dan keinginan menjadi usahawan.

“Membuat kraftangan terutamanya bakul dan dulang (tray) berasaskan rotan adalah kemahiran yang saya warisi dari ibu saya (Lotimboi Solugung). Ia adalah kemahiran turun temurun. Ibubapa kami juga telah menjadikan kemahiran ini sebagai sumber menjana sumber pendapatan bagi membesarkan kami tujuh adik beradik.

“Sejak kecil, kami adik beradik melihat dan belajar sambil membantu ibubapa membuat bakul di rumah. Ia dengan sendirinya memahirkan kami. Ia kerja yang menyeronokkan terutama ia tiada masalah pasaran kerana bakul-bakul yang dibuat itu sudah ada yang tempah. Ibu hanya perlu turun ke Tamu Tamparuli setiap Rabu untuk menghantar bakul kepada orang yang menempah termasuk pemborong,” kata Lomiti.

Minat Lomiti dalam pembuatan bakul berlanjutan selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berumahtangga.

“Saya memang minat betul buat bakul rotan. Selepas berkahwin, setiap kali balik ke rumah ibubapa, saya banyak memnghabiskan masa membantu ibu membuat bakul,” katanya.

Kira-kira 10 tahun menjadi surirumah sepenuh masa dan melihat keluarga hanya mengharap pendapatan suami dari bisnes bas pengangkutan awam yang memang mencukupi, Lomiti rasa adalah sia-sia kalau kemahirannya juga tidak dimanfaatkan untuk menjana pendapatan. Lomiti melihat laluan mengejar impian terpendamnya menjadi usahawan berjaya itu apabila diperkenalkan seterusnya menjadi ahli Yayasan Usaha Maju (YUM) pada 1995.

Lomiti bermula di rumah secara kecil-kecilan dengan hanya pinjaman RM2,000 daripada YUM. Bagaimanapun modal sebenar Lomiti adalah kemahiran dan pengalaman yang diwarisi dari ibunya. Sokongan dari suami juga banyak membantu dan melancarkan usahanya. Tambahan pula pekerjaan itu boleh dibuat tanpa mengganggu urusannya sebagai surirumah.

Atas permintaan pelanggan, bakul yang dibuat juga Lomiti telah pelbagaikan reka bentuknya kepada seperti tray majalah, sudu, alat tulis dan pasu bunga. Semuanya kekal berasaskan rotan. Permintaannya meningkat saban tahun, bermakna pendapatannya juga meningkat .

Dengan pendapatan bulanan RM3,000-RM5,000 sebulan, Lomiti dapat menabung untuk membuka kedai kraftangan yang direalisasikannya selepas lima tahun dengan menyewa kedai di Pekan Tamparuli pada tahun 2000. Kedai dengan kadar sewa RM700 sebulan itulah dia menjual dan menyiapkan tempahan pelanggan yang terus meningkat sehingga tahun 2005.

Selain beroperasi di kedai, Lomiti juga selalu menyertai pameran dan jualan kraftangan anjuran Perbadanan Kraftangan Malaysia cawangan Kota Kinabalu di seluruh Sabah di mana selain menjual beliau juga buat demo membuat bakul dan tray.

Inilah yang membezakan Lomiti dengan peniaga-peniaga kecil yang lain dimana dia tidak setakat beroperasi di kedai, malah turut menyertai aktiviti-aktiviti yang berpotensi untuk mengembangkan perniagaannya.

Pada masa yang sama, Lomiti juga bekongsi kemahirannya dengan mengajar wanita yang berminat mengusahakan kraftangan secara berkumpulan di kampung-kampung.

“Secara ringkasnya, semuanya berjalan lancar sepanjang mengusahakan kraftangan. Pasaran juga tiada masalah kerana kebanyakan yang dibuat adalah untuk memenuhi tempahan. Masalah yang pernah dihadapi hanyalah apabila saya kekurangan bekalan bahan mentah tetapi ia hanya sementara. Selepas itu, ia bukan lagi masalah selepas buat perancangan termasuk menyimpan bekalan yang mencukupi,” katanya.

Sepuluh tahun mengusahakan kraftangan telah mengubah kehidupan Lomiti kepada lebih baik. Daripada hanya sebagai surirumah sepenuh masa, beliau telah menjadi surirumah berpendapatan untuk turut sama menjadi penyumbang menampung perbelanjaan keluarga. Beliau malah telah menjadi usahawan contoh kepada wanita dan ahli-ahli YUM.

“Semua itu adalah kerana minat, disiplin kerja dan keinginan mahu menjadi usahawan. Genab 10 tahun, saya beranikan diri untuk ceburi bidang lebih mencabar menukar kedai kraftangan kepada kedai elektrik jenama Singer. Ini saya dan suami usahakan bersama sepenuh masa,” katanya.

Purata jualan mereka mencecah RM100,000 sebulan, pencapaian yang menobatkan Lomiti sebagai penerima Anugerah Agen Pemasaran Terbaik Kawasan Sabah pada 2007.

Apabila ada anak-anak yang sudah boleh membantu, Lomiti mengembangkan lagi kerjayanya dengan membuka kedai Tamparuli Sticker yang menawarkan perkhidmatan membuat sticker kereta dan percetakan pada 2008 dan kedai makan Happy Cafe (E-Sport) juga di pekan Tamparuli pada 2010.

Pada awal 2013, Lomiti juga mula mengubahsuai sebuah premis berhampiran dua kedainya itu untuk dijadikan mini dewan serbaguna untuk disewakan.

Bagaimanapun, belumpun siap projek terbarunya itu, malang menimpa apabila berlaku kebakaran yang memusnahkan kesemua kedainya termasuk premis yang sedang diubahsuai berkenaan.

“Musibah melibatkan kerugian kira-kira RM480,000 itu membuat saya hampir putus asa meneruskan semula semua yang telah diusahakan. Mujurlah sebahagian modal yang digunakan adalah dari pinjaman YUM di mana ianya dilindungi insuran.

“Selepas mendapat pampasan (dari insuran), kami buka semula kedai Tamparuli Sticker dan kedai makan Happy Cafe (E-Sport) dan semuanya kembali seperti sedia kala manakala dewan serbaguna kami alihkan pembinaannya di kampung pada 2016,” kata Lomiti.

Usaha gigih itu juga menyaksikan Lomiti dinobatkan sebagai penerima Anugerah YUM Usahawan Berjaya Tuaran pada 2013.

Kedai Tamparuli Sticker kini dikendalikan anak kedua, Vester dan dibantu anak pertama, Trecyla manakala kedai makan Happy Cafe (E-Sport) dikendalikan anak ketiga, Tefney dan anak keempat, Veno.

Dewan Serbaguna (Tamparuli Multi Purpose Hall) yang disewakan untuk sebarang majlis pula dikendalikan sepenuhnya oleh Lomiti.

“Hasil pendapatan setakat ini boleh tahan juga. Tiada masalah bayar balik pinjaman RM50,000 dari YUM. Tambahan pendapatan dari saya membolehkan kami sekeluarga melancong sekali- sekala,” kata Lomiti yang kini merupakan Pengerusi Ketua-Ketua Pusat YUM Tuaran dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Majlis Perwakilan Ahli YUM Sabah.

Menurutnya, dewan serbaguna mendapat banyak tempahan daripada rakan-rakan dan kenalan serta rakan kepada rakan dan kenalan kepada kenalan semasa beliau mengusahakan kraftangan, kedai-kedai dan pernglibatan dalam politik.

Lomiti juga adalah ahli Pergerakan Wanita dalam Parti Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Bersatu (UPKO) P170 Tuaran.

“Penglibatan dalam politik mendedahkan saya lebih banyak peluang, bergaul dengan semua lapisan masyarakat dari pelbagai kaum, agama dan pekerjaan. Semua ini membantu menambahkan pengalaman dan pengetahuan untuk memajukan diri.

“Saya fikir saya telah memilih parti politik yang tepat iaitu UPKO, parti yang meletakkan pembelaan nasib pribumi negeri ini sebagai salah satu agenda utama dalam perjuangannya.

“Kebetulan, presidennya, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau adalah dari kawasan(Parlimen) kami. Berada dalam parti dan kawasan yang sama mempermudahkan kami meminta sokongan dan bantuan bagi memajukan apa sahaja projek yang diusahakan kerana Madius memang pemimpin sangat prihatin dengan keperluan rakyat,” katanya.

Menurutnya, Madius sentiasa peka terhadap keperluan masyarakat tempatan termasuk wanita dan ahli YUM Tuaran sesuai dengan statusnya selaku pemimpin. Tanggungjawab yang dipikulkan kepadanya selaku Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia juga dimanfaatkan sepenuhnya oleh beliau untuk membantu masyarakat.

“Setiap ada kesempatan, Madius bukan sahaja meluangkan masa bersama kami malah turut menghulurkan sumbangan kewangan kepada tabung kebajikan YUM. Madius mahu kami ahli YUM terus berusaha dan menjadi contoh kepada wanita terutamanya di kampung-kampung agar terus berusaha memajukan diri.

“Ramai wanita dalam kawasan Parlimen Tuaran mempunyai kemahiran semulajadi
dalam banyak bidang dan aset untuk menjadi orang berjaya. Mereka hanya perlukan sedikit sentuhan bagaimana memanfaatkan kemahiran dan aset yang ada untuk maju.

Lomiti (kiri) bersama Madius dalam salah satu majlis di Tuaran

“Kami rasa sangat beruntung memiliki Ahli Parlimen seperti Madius. Beliau bukan hanya faham dengan keadaan dan keperluan masyarakat setempat tetapi berusaha bersungguh-sungguh memenuhinya. Keprihatinan Madius dengan kapasitinya selaku Menteri Persekutuan sangat memotivasikan kami,” kata Lomiti.

“Rakyat terutamanya di kawasan Parlimen Tuaran perlukan pemimpin seperti Madius. Kami pasti akan terus menyokong kepimpinan Madius pada pilihanraya akan datang kerana masih banyak agenda beliau dan parti UPKO yang perlu diperjuangkan demi kemajuan rakyat Tuaran serta Sabah keseluruhannya,” tambahnya.



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *