TIANG NUKLEAR UNTUK LADA?

MSI – Tanaman Lada Hitam di Malaysia

MOSTI Social Innovation (MSI) merupakan sebuah program yang dilancarkan dua tahun lepas iaitu pada April 2015. Program ini bertujuan memenuhi kehendak sosial di komuniti tempatan.

Dalam penanaman pokok Lada Hitam misalnya, Malaysia menjadi pengeluar kelima terbesar lada hitam dunia, berada dibelakang Vietnam, Indonesia, India, dan Brazil. Sarawak menyumbang 90% daripada pengeluaran Lada Hitam tempatan. Pada tahun 2011, sewaktu Tan Sri Bernard Dompok masih memegang jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, beliau telah memohon Lembaga Lada Malaysia (MPB) untuk memperkenalkan tanaman lada di Sabah. Tujuannya ialah untuk memberi pekebun kecil lebih banyak pilihan komoditi yang menjana pendapatan.

Secara tradisional, penanaman Lada Hitam memerlukan bekalan kayu Belian untuk dijadikan tiang sokongan. Menurut Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), pokok Belian secara semula jadi ditemui di Malaysia, Indonesia, dan Filipina. Tumbuh di hutan pamah dan juga hutan sekunder, pokok ini mengambil masa sehingga 120 tahun untuk mencapai 20 cm diameter.

Juga dikenali sebagai “Borneo ironwood”, pokok ini menjadi pilihan utama dalam pembinaan. Ia sangat kukuh, tahan reput, dan tahan secara semula jadi. Permintaan terhadap pokok Belian ini meningkat seiring dengan peningkatan permintaan lada di peringkat global.

MPB melaporkan purata permintaan global ialah 428,933 tan metric (mt) dari 2014 sehingga 2016, namun hanya 390,912 mt dibekalkan. MPB menyasarkan 20, 000 hektar ladang lada di Malaysia menjelang tahun 2020. Sehingga kini, terdapat 17, 000 hektar ladang lada, yang mana 16, 000 hektar daripadanya terletak di Sarawak dan selebihnya di Sabah dan Johor.

Pokok Belian warisan Borneo ini menjadi sangat berharga. Pertumbuhan yang perlahan – hanya setengah inci setahun dan eksploitasi meluas menyebabkan pembalakan pokok ini diharamkan oleh Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hutan Negeri Sarawak.

Agensi Nuklear Malaysia menerusi program penyelidikan dan pembangunan telah tampil dengan alternatif bagi menggantikan kayu Belian sebagai tiang sokongan dengan menggunakan biokomposit. Cara ini menggunakan kombinasi serat semula jadi dan bahan-bahan lain untuk menghasilkan bahan baru yang terbiodegradasikan dan juga boleh dikitar semula. Kelebihan lain biokomposit ialah ianya mudah dibentuk untuk menambah fungsi pada tiang penyokong seperti sistem pengairan dan persenyawaan.

Agensi Nuklear Malaysia mempunyai kepakaran menggunakan teknologi radiasi nuklear dalam penghasilan biokomposit untuk meningkatkan kualiti dan ketahanannya. Memandangkan biokomposit dibentuk menggunakan serat daripada buah kepala sawit dan pokok padi, ianya mampu mengurangkan pembuangan sisa pepejal, pengeluaran karbon serta penggunaan tenaga untuk pembakaran sisa.

Dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Sabah, tiang biokomposit ini telah diuji di ladang lada di Kampung Moyog, Penampang selama 18 bulan bagi menggantikan kayu Belian. Pada pertengahan November, seramai 20 peladang dari lapan buah kampung di Tarampuli dan Kudat mengambil bahagian dalam fasa kedua projek MSI ini. Projek ini boleh dikembangkan kepada industri tanaman menjalar seperti anggur, tomato dan kekacang.

Contoh ini jelas menunjukkan sains dan teknologi tidak hanya tertumpu pada bidang tertentu sahaja. Ia merangkumi semua aspek kehidupan seharian. Menerusi inovasi, pengetahuan sains dan kemampuan teknologi pasti mampu menyelesaikan masalah dengan cara yang kreatif.

Tiada siapa yang menyangka bahawa tiang sokongan bagi tanaman Lada Hitam ini merupakan hasil kajian saintifik yang menggunakan teknologi radiasi nuklear.



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *